KETERUJAAN orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ternyata ‘memberi idea’ kepada individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Ia terbukti apabila polis menahan dua warga tempatan disyaki terlibat dalam penawaran serta penjualan pakej vaksin Covid-19 secara dalam talian, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata hasil risikan, polis menahan suspek lelaki dan wanita berumur 26 dan 27 tahun selepas satu laporan polis dibuat seorang pegawai perubatan berhubung kegiatan itu pada Isnin lalu.
Beliau berkata kedua-dua suspek didapati menawarkan pakej vaksin Covid-19 yang dijual pada harga RM450 bagi warga tempatan sementara RM800 bagi warga asing.
“Berdasarkan siasatan awal polis mendapati kegiatan itu dibuat melalui laman sosial Facebook serta panggilan telefon sementara pelanggan yang berminat diberitahu akan didaftar ke dalam Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) melalui aplikasi SELangkah.
“Pembeli yang berminat untuk mendaftar didakwa akan diletakkan dalam senarai menunggu dan pembayaran hanya perlu dibuat setelah nama mereka tersenarai sebagai seorang daripada penerima vaksin melalui aplikasi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Kamarudin berkata semakan lanjut mendapati sehingga kini pendaftaran program SCVP itu hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka kepada individu persendirian,” katanya.
Hasil siasatan polis, mereka (suspek) mendakwa sehingga kini kira-kira 30 individu telah dihubungi berkenaan pakej vaksin itu dengan 10 peratus daripadanya menyatakan minat untuk membeli pakej ditawarkan pihaknya.
Mohd Kamaruddin meminta orang ramai untuk sentiasa cakna dengan inisiatif vaksinasi dilaksana kerajaan bagi mengelakkan daripada dimanipulasi sindiket penipuan dalam mengaut keuntungan mudah.
“Orang ramai juga dinasihati untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan penipuan penjualan vaksin COVID-19 kepada pihak polis,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan