Rabu, 30 Jun 2021

Negeri kes terendah bakal ‘dibebas’ daripada Fasa Pertama PKP 3.0 PPN


Semua negeri boleh memperketat SOP Perintah Kawalan Pergerakan tetapi tidak boleh dilonggarkan. - Gambar Agenda Daily

Kerajaan menjangkakan negeri yang merekodkan kes rendah harian Covid-19 akan ‘dibebaskan’ daripada Fasa Pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menerusi mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira nisbah jangkitan di negeri berkaitan dengan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara.

“Keputusan akan diumum nanti. Kita sudah teliti perkara ini dengan lebih terperinci. Dulu kita pernah buat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ( PKPP) malah dulu dalam satu daerah pun ada PKPB. Ini mendatangkan kekeliruan.

“Jadi kita cadangkan agar nilai ambang jangkitan dibuat berdasarkan nasional. Akan tetapi masalahnya selepas itu ada negeri dikenakan PKP walhal kesnya kecil. Justeru, semalam kita bincang dan Insya-Allah kita akan perincikan dahulu. Sampai masa kita umum,” katanya hari ini.

Sementara itu beliau turut memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) PKP di seluruh Malaysia adalah selari dan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya merangka peraturan sendiri.

“Kalau ada beza pun mereka boleh perketat tapi tidak boleh longgar. Sebagai contoh kalau kita kata 10 malam tapi negeri nak ketat sehingga pukul 6 petang itu tidak mengapa.

“ Negeri mesti sama dengan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN). Sabah pun mesti sama dan tak boleh berbeza sedangkan negeri lain ikut SOP,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak empat hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dibina selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM20 juta bagi penambahan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan lantikan kontrak.

Beliau berkata pelantikan itu tidak membabitkan perjawatan dan setiap pegawai atau kakitangan serta doktor yang dilantik akan berkhidmat selama setahun di penempatan yang akan ditetapkan kemudian.

“Kita telah menerima 377 permohonan dan hari ini sebanyak 24 pegawai perubatan ; 59 penolong pegawai perubatan; 48 jururawat; 14 pegawai farmasi dan 71 paramedik serta beberapa jawatan lain dilantik.

“Lantikan ini mengikut proses segera dengan lebih cepat iaitu dua minggu. Ini bagi memastikan keperluan diisi termasuk kemudahan hospital medan. Bagaimanapun segala keputusan bagi penambahan atau penempatan hospital medan diputuskan Kementerian Kesihatan. Kita boleh bina empat lagi hospital medan dengan kapasiti antara 50 sehingga 200 katil,” katanya.

Tiada ulasan: