Isnin, 28 Jun 2021

Premis makanan boleh dibuka 6 pagi hingga 10 malam

KUALA LUMPUR: Premis menjual makanan boleh dibuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata operasi premis kedai makan dan restoran sebelum ini hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

"Selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa esok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pengusaha premis makanan merayu kerajaan memberi kebenaran bagi melanjutkan tempoh operasi disebabkan kekangan masa dan pendapatan yang berkurangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi Pasukan Petugas Khas untuk memantau dan melakukan tindakan terhadap kilang serta premis perniagaan yang melanggar perintah atau Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, ketika ini Pasukan Petugas Operasi Pematuhan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan tugas hampir sama untuk memantau pematuhan SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga berpandangan, sudah cukup dengan pasukan khas sedia ada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Terdapat kekeliruan mengenai peranan pasukan keselamatan terutama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ops seperti diumumkan sebelum ini.

Peniaga nasi lemak, Noraishah Mazuki, 31, melayan pelanggan di Kuala Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Peniaga nasi lemak, Noraishah Mazuki, 31, melayan pelanggan 
di Kuala Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

"Terdapat dua pembahagian tugas iaitu National Task Force diketuai ATM menerusi Op Benteng membabitkan kawalan sempadan negara bersama-sama 11 agensi lain termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lain-lain.

"Pasukan Petugas Operasi Pematuhan pula diketuai PDRM dan dibantu ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain bagi tujuan pemantauan.

"Kedua-duanya diwujudkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi dan apabila PKP 3.0 dilaksanakan, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diperluaskan kepada pemeriksaan terhadap kilang yang melanggar arahan dan pematuhan SOP sama ada melalui sekatan jalan raya (SJR) atau pemeriksaan di tempat awam," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu faham setiap pembahagian tugas dan gerak kerja membabitkan ATM dan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.

Mengulas Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, seramai 798 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dengan 762 daripada mereka dikompaun, manakala 24 direman serta 12 dijamin.

"Seramai 172 daripada mereka melakukan kesalahan tiada penjarakan fizikal, tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (119), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (114), tidak memakai pelitup muka (108), bawa penumpang berlebihan (69) dan kesalahan lain (216).

"Menerusi Op Benteng pula, seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, manakala enam kenderaan berat dirampas," katanya yang memberitahu 605 individu dikuarantin sejurus tiba di pintu masuk antarabangsa.

Tiada ulasan: