Rabu, 30 Jun 2021

2 kilang dikompaun RM20,000 gagal patuhi SOP

 Oleh OTHMAN YAHAYA

Kamarul Zaman (dua kiri) ditemani Adzli ketika membuat pemeriksaan di sebuah kilang di Taman Ria Jaya di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Polis mengeluarkan kompaun RM10,000 masing-masing ke atas pemilik kilang kitar semula dan pembungkusan makanan kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tindakan itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas 35 buah kilang di daerah Kuala Muda dari pukul 8 pagi hingga 7 malam semalam.

“Kilang kitar semula di Taman Ria Jaya dan kilang memproses makanan di Bedong itu didapati gagal mematuhi SOP penjarakan fizikal di kawasan persekitaran kilang tersebut.

“Selain itu, kilang makanan berkenaan turut didapati tidak menyediakan cecair pembasmi kuman serta tiada pengimbas suhu dan catatan kehadiran pekerja,” katanya di sini hari ini.

Pemeriksaan ke atas kilang-kilang di kawasan perindustrian Bakar Arang, Taman Ria Jaya, Gurun Serta Bedong itu melibatkan seramai 35 pegawai dan anggota daripada pasukan pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Turut hadir dan mengetuai pemeriksaan ialah Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat. – K! ONLINE.

Tiada ulasan: