Isnin, 28 Jun 2021

Penyanyi, pelakon 80-an turut dipanggil polis rakam keterangan

TAPAH: Selain penyanyi terkenal, seorang lagi penyanyi dan pelakon tahun 1980-an turut dipanggil polis selepas dia turut serta dalam majlis sosial di ladang dekat Kampung Poh, Bidor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail mengesahkan, penyanyi dan pelakon itu turut terbabit dalam majlis sosial yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika negara masih dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.

Katanya, penyanyi dan pelakon berkenaan sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pagi tadi untuk memberi keterangan lanjut berhubung kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail 
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin 
Wan Ismail

"Bukan setakat penyanyi terkenal itu saja, malah seorang lagi selebriti iaitu penyanyi dan pelakon era 1980-an turut serta dalam majlis sosial yang melanggar SOP itu dan gambar mengenainya tular di media sosial," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk penyanyi terkenal kerana menyertai majlis sosial dipercayai berlaku di sebuah ladang dekat Kampung Poh, Bidor, baru-baru ini.

Ia susulan penularan gambar majlis sosial itu di Facebook (FB) kira-kira jam 2 petang semalam.

Majlis berkenaan membabitkan selebriti tempatan dan beberapa individu di sebuah ladang, sekali gus melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Melalui gambar tular berkenaan, polis mendapati individu terbabit tidak mengamalkan penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka.

Gambar berkenaan dipercayai dirakam pada Khamis lalu oleh individu yang turut serta dalam majlis terbabit.

Tiada ulasan: