Isnin, 28 Jun 2021

Bakul makanan: RM300k untuk setiap ahli parlimen, termasuk pembangkang

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Setiap ahli parlimen akan menerima peruntukan RM300,000 setiap kawasan, sebagai tambahan untuk program Bantuan Bakul Makanan sedia ada bagi membantu menyediakan keperluan asas penting buat golongan memerlukan.

Bantuan itu akan diberikan kepada semua ahli parlimen, tidak mengira ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang, bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan dapat disalurkan kepada golongan terjejas di semua kawasan.

Sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Perkara dimaklumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion tadi, termasuk suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion.

“Baik ahli parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan,” katanya.

Tiada ulasan: