Selasa, 29 Jun 2021

PEMULIH: Pencari kerja tidak dilupakan, graduan dan lepasan sekolah dapat elaun RM300

carta

KERAJAAN akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan tersebut boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya 300 ringgit.

Katanya, selain itu, kerajaan akan memperuntukkan 125 juta ringgit melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.

“Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan,” katanya katanya dalam perutusan khas pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Muhyiddin juga berkata, MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 243 ribu peluang pekerjaan berjaya diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan mencipta peluang-peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri.

Katanya, melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan telah menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu.

“Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah disalurkan yang telah dimanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja,” tambahnya.

Katannya, memandangkan PenjanaKerjaya ini dijadual berakhir pada akhir Jun ini, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan.

“Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200 ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan,” katanya.

Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan. – UtusanTV

Tiada ulasan: