Isnin, 28 Jun 2021

Jakim perlengkap 160 pegawai mahir tangani kes kemurungan

Malaysiakini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang melengkapkan 160 pegawai yang memiliki kemahiran psikospiritual, khidmat bimbingan dan ilaj syarie (rawatan Islam) di hospital seluruh negara untuk menangani kes kemurungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini berkata, perkhidmatan berkenaan akan diperluaskan ke agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Zulkifli berkata, perkhidmatan berkenaan adalah bagi menangani masalah kerohanian dan kemurungan dalam kalangan pesakit dan kakitangan hospital sendiri akibat pandemik Covid-19 dan permasalahan lain.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, seramai 160 peserta yang terdiri daripada kader post Jakim yang berkhidmat di hospital seluruh Malaysia, Pegawai Mesra Ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan spiritual provider lantikan Hospital Rehab Cheras (Hospital Rehabilitasi Cheras) akan diberi latihan,” katanya.

Menurut Zulkifli, tindakan menempatkan pegawai Jakim itu juga adalah antara inisiatif MyCareCOV19 yang bermula pada April 2020.

MyCareCOV19 merupakan inisiatif Jakim bersama rakan strategik agensi lain bagi menyediakan bantuan kerohanian bagi membantu masyarakat Islam dan bukan Islam menangani permasalahan serta isu sosial dan komuniti yang timbul sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa.- Bernama

Tiada ulasan: