Selasa, 29 Jun 2021

PEMULIH: Harga minyak masak lebih murah

Harga minyak masak botol 1 hingga 5 kilogram mungkin akan menjadi lebih murah menerusi pelaksanaan program kawalan harga berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (MSM).

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (MSM) menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sememangnya mampu mengawal kenaikan harga.

Pada masa sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berpendapat, rakyat mungkin dapat memperoleh harga minyak masak 5 kilogram pada harga lebih murah berbanding harga siling RM30 sebotol menerusi pelaksanaan program berkenaan.

Kata beliau, harga minyak masak lebih murah itu mungkin menjadi realiti sekiranya harga kawalan MSM itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Mohd. Khairuddin Aman Razali

Beliau juga berharap pelaksanaan program minyak masak bersubsidi dapat ditambah baik bagi disediakan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

“Saya amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang senada dengan hasrat kementerian dalam menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram apabila bersetuju pelaksanaan program harga kawalan berasaskan nilai ambang MSM.

“Maka, dengan pelaksanaan program itu nanti, harga minyak masak botol 5 kilogram yang tidak bersubsidi dapat dikawal dengan harga silingnya tidak melebihi RM30 sebotol,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam perutusan khas PEMULIH semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang MSM.

Beliau memaklumkan, pelaksanaan program itu adalah untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 hingga 5 kilogram.

“Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.

“Dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion.

“Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50,” katanya.

Tiada ulasan: