Isnin, 28 Jun 2021

Edar, tanam pokok ganja: Tiga beranak warga S'pura ditahan

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Polis merampas ganja bernilai RM19,900 dan menahan tiga sekeluarga warga Singapura dalam serbuan di sebuah banglo di Semenyih di Kajang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berumur 58 tahun bersama dua anak lelakinya, masing-masing berusia 25 dan 31 tahun itu, ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 10 malam, dan ketiga-tiga mereka dikatakan masuk ke negara ini bagi menjalankan perniagaan minyak wangi.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis merampas lapan pokok ganja, 23 bekas botol kaca yang mengandungi daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 398 gram, pelbagai barangan untuk menanam pokok ganja dan sebuah kereta jenis Ford Ranger.

“Sindiket yang aktif sejak empat bulan lepas itu menjalankan operasi di sebuah rumah yang disewa RM2,000 sebulan, dan mereka membekalkan dadah itu untuk pasaran tempatan dan negara jiran,” katanya dalam persidangan media di Kajang hari ini.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati keluarga terbabit membeli biji benih jenis ganja daripada sebuah laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat dengan membuat bayaran secara dalam talian dan jualan dadah juga dibuat secara dalam talian.

Mohd Zaid berkata ketiga-tiga lelaki itu direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di Sentul, polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket mengedar dadah dalam operasi di sekitar Taman Batu Muda, di Kuala Lumpur Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata dalam kes pertama seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan di hadapan sebuah kedai dobi di taman berkenaan selepas pemeriksaan polis menemukan 10 ketulan mampat kanabis seberat 9,940 gram (g) di dalam bakul motosikal lelaki itu.

“Seorang lagi lelaki berusia 43 tahun ditahan di sebuah rumah di taman berkenaan. Kedua-dua suspek membawa polis ke sebuah kereta di tepi hentian bas Taman Batu Muda dan polis menemukan 26 ketulan mampat kanabis seberat 25,700 gram di tempat duduk belakang kereta itu,’’ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di Kuala Lumpur.

Beh berkata kesemua dadah itu adalah untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang serta Selangor manakala kedua-dua lelaki terbabit didapati positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 71,299 individu pengguna kanabis," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: