PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menjalankan siasatan terhadap kebakaran longgokan tayar terpakai di Jeti Sritama, Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata JAS Selangor Cawangan Sepang sudah menjalankan siasatan insiden itu pada Ahad membabitkan tayar ricih terpakai.
Beliau berkata, tayar berkenaan diimport dari luar negara sebelum dijual kepada pihak industri untuk dijadikan sebagai bahan api.
Katanya, kebakaran seluas kira-kira 0.37 hektar pada petang Sabtu itu menghasilkan asap tebal di kawasan sekitar.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 29A Larangan Pembakaran Terbuka bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) sekiranya didapati kebakaran berlaku disebabkan unsur kecuaian pemilik premis dan operator yang melonggokkan buangan itu secara terbuka.
"Kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kebakaran ini akan terus dipantau oleh JAS Sepang," katanya di akaun Facebooknya, hari ini.
Sabtu lalu media melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pada jam 4 petang membabitkan kebakaran di Jeti Sritama, Jalan Bandar Lama,Telok Panglima Garang.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, dilaporkan berkata, seramai 15 anggota dan pegawai dari balai bomba Telok Panglima Garang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sungai Pinang digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kawasan kejadian berkeluasan kira-kira 0.37 hektar itu membabitkan longgokan tayar yang dipotong untuk dijadikan sumber bahan bakar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan