Rabu, 30 Jun 2021

Ibu, anak ditahan jadi tauke jual air ketum

 Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

Antara rampasan air ketum hasil tangkapan ke atas dua beranak di dalam sebuah rumah di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu dan anak lelaki ditahan kerana memiliki 450 bungkus air ketum yang disimpan dalam tiga tong ais di rumahnya di kawasan setinggan Kampung Melayu Pandan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, seorang wanita berusia 38 tahun ditahan bersama anaknya yang berusia 20 tahun.

Katanya, serbuan yang dibuat oleh bahagian Siasatan Jenayah Narkotik JBS turut merampas satu plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 23 kilogram (kg), dua periuk besar, sebuah tong gas dan dapur gas.

“Nilai keseluruhan rampasan air ketum sebanyak 564 liter, 23 kg daun ketum serta perkakas memproses air ketum itu ialah RM6,980. Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui penglibatan ibu dan anak ini dalam kegiatan menjual air ketum.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod lampau mendapati suspek wanita itu mempunyai lima kesalahan lampau bagi kes narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jika disabit kesalahan, katanya, suspek boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE

Tiada ulasan: