Rabu, 30 Jun 2021

Temui bayi lelaki di bawah rumah

 Oleh IVAN AMIRUL

Bayi yang ditemui semalam (kanan).

LAHAD DATU – Seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, bayi lelaki masih bertali pusat berkenaan ditemui dalam keadaan tertiarap di atas tanah berlumpur oleh pemilik rumah selepas terdengar bunyi tangisan selain anjing menyalak ke arah bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dia bersama ahli keluarga terus membawa bayi terbabit ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan.

“Doktor yang merawat bayi berkenaan menganggarkan usia bayi itu sekitar tiga atau empat jam sebelum ditemui.

“Pasukan perubatan juga percaya bayi seberat satu kilogram itu dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu berada dalam kandungan sekitar tujuh bulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Rohan berkata, bayi berkenaan setakat ini berada dalam keadaan tidak stabil dan ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan serta pemantauan.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau membuang kanak-kanak terbabit.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sakit kesalahan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: