Isnin, 28 Jun 2021

Anggota polis cedera dilibas parang stabil

KAMARUL RIZAL JENAL
 
KAMARUL RIZAL JENAL

BALIK PULAU: Seorang anggota polis yang mengalami kecederaan pada lengan kiri selepas dilibas suspek menggunakan sebilah parang di kawasan kebun Air Terjun Pak Lah, Bayan Lepas, di sini pagi tadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Anggota berpangkat Koperal dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, anggota terbabit menerima rawatan setelah mengalami beberapa kecederaan luka pada lengan kiri.

Menurutnya, mangsa sebelum itu diserang suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun sebelum dilibas menggunakan sebilah parang semasa melakukan tugasan cegah jenayah kira-kira pukul 3.30 pagi.

“Sebaik sahaja diserang oleh suspek, anggota lain bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri dan keselamatan rakan setugasnya (mangsa).

“Dalam kejadian itu, suspek disahkan maut di tempat kejadian dan polis turut menemukan sebilah parang berlengkung dan sebatang pemutar skru.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan beg-beg yang diletakkan di belakang pokok berdekatan sebuah pondok dipercayai barangan hasil curi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan seorang penjenayah yang cuba menyerang anggota polis sambil bersenjatakan parang maut ditembak dalam kejadian awal pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku apabila suspek warga yang merupakan orang dikehendaki polis berhubung kes curi dan pecah rumah itu dikesan berada di lokasi tersebut ketika sepasukan polis mahu menahannya. UTUSAN

Tiada ulasan: