Ahad, 27 Jun 2021

Kerajaan diminta selesai segera isu serap doktor kontrak

ainulillia

Sekumpulan pegawai perubatan mahu lancar mogok pada 26 Julai ini

BANGI – Kerajaan mesti mengemukakan penyelesaian tuntas terhadap isu membabitkan pegawai perubatan kontrak yang mahu melancarkan protes bermula 1 Julai ini, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, ia melibatkan kira-kira 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan setelah mereka bergraduasi dan melakukan ‘housemanship’ semenjak 2016.

Beliau menegaskan, pelanjutan kontrak mereka sehingga penghujung tahun 2022 bukan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka masa panjang sektor perubatan negara.

“Pandemik ini membuktikan betapa sistem perubatan kita sangat memerlukan peningkatan dan pembaharuan radikal.

“Kita memerlukan lebih banyak hospital, lebih ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau di mana jua tanpa mengira kemampuan.

“Justeru saya menyeru kerajaan mengemukakan segera formula terbaik untuk menyerapkan pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, beliau maklum bahawa serapan ke jawatan tetap secara lazimnya berlaku apabila terdapat kekosongan. 

Namun, katanya, sistem kesihatan negara kini tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti terdahulu dengan jumlah perjawatan diperuntukkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada nisbah dan norma pra-pandemik.

“Keadaan gawat waktu ini menuntut KKM merangka dasar dan keperluan guna tenaga yang lebih strategik dan mapan dalam ‘primary care’, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan, ‘preventive health’ dan penyelidikan perubatan.

“Tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan standard, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak dan segera adalah keutamaan nasional.

“Kepada semua pegawai perubatan kontrak, jasa dan keringat anda sangat kami hargai. Kegelisahan, kekecewaan dan masa depan anda semua adalah keutamaan yang akan kami perjuangkan,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak dilaporkan akan melakukan protes ‘Hartal Doktor Kontrak’ secara berfasa bermula 1 Julai yang melibatkan penghantaran memorandum, sidang media dan juga mogok pada 26 Julai sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan isu mengenai penempatan tetap mereka.

Salah seorang doktor mengatakan bahawa terdapat 23,077 pegawai perubatan kontrak yang direkrut sejak 2016, namun hanya 789 yang telah diserap sebagai kakitangan tetap.

Dari angka tersebut, dia mengatakan sekitar 45 peratus sudah menyokong memorandum mereka dan jumlahnya akan bertambah sebelum dokumen itu didedahkan minggu depan.

Tiada ulasan: