Rabu, 30 Jun 2021

‘Jangan keliru, kita masih di Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara’


Seorang wanita kelihatan bercakap dengan anggota tentera di Perumahan Awam Desa Rejang. – Gambar Agenda

Tiga indikator nilai ambang utama dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) belum tercapai, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak keliru, beliau berkata peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh dan negara sekarang ini masih pada Fasa Pertama PPN.

Tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ini memaklumkan peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua dibuat selepas purata kes harian Covid-19 turun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada pada peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Masih ramai keliru dan menganggap kita telah beralih ke fasa dua. Perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam fasa satu. Peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh. Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes Covid-19, sekali gus membolehkan ketiga-tiga indikator itu dicapai dalam masa terdekat,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, 600 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), dengan 592 individu dikompaun manakala lapan lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, sebanyak 136, tiada penjarakan fizikal (125), Rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (104), tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70), membawa penumpang berlebihan (30), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain, 27,” katanya.

Mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP di sektor perkilangan dan premis perniagaan semalam, beliau berkata hanya satu premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP daripada 1,867 pemeriksaan dijalankan ke atas kilang dan 11,316 premis perniagaan.

Tiada ulasan: