Rabu, 30 Jun 2021

' Lockdown’ takkan henti kenaikan kes Covid-19, kata ahli virologi

Predeep Nambiar
Ahli virologi berkata, wabak Covid-19 akan terus merebak selagi rantaian 
penularannya berterusan, justeru fokus sepatutnya diberikan kepada vaksinasi.

GEORGE TOWN: Jumlah kes Covid-19 dalam negara akan terus meningkat walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan kerana strain yang mudah berjangkit membuatkan kehadirannya terus dirasai, menurut dua ahli virologi dari Universiti Sains Malaysia.

Mereka berkata, keadaan normal mungkin kembali apabila kebanyakan rakyat divaksin dan jumlah kes serius berkurangan serta virus menjadi endemik.

Dr Kumitaa Theva Das dan Dr Muhammad Amir Yunus berkata demikian selepas bekas perdana menteri, Najib Razak baru-baru ini bertanya kenapa jumlah kes harian masih tinggi walaupun PKP sekali lagi dilaksanakan.

Dr Kumitaa Theva Das.

Kumitaa berkata, hampir pasti strain yang lebih mudah berjangkit ada dalam kalangan kita dan kadar positifnya dijangka meningkat.

Merujuk kajian 64 negara baru-baru ini katanya, jumlah jangkitan yang berpunca daripada varian Delta meningkat sebanyak 97% berbanding varian yang mula dikesan di Wuhan, China.

“Apa yang dimaksudkan ini adalah jika virus terdahulu menular daripada seorang individu kepada dua orang, varian Delta kini menjangkiti empat orang,” katanya kepada FMT.

Memetik laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah pada 23 Jun lalu katanya, nilai kebolehjangkitan varian Alpha adalah 29%, Beta (25%), Gamma (38%) dan Delta (97%).

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 14 kes varian Beta dan lapan kes varian Delta antara 11 hingga 19 Jun lalu. Menjelang 24 Jun, 189 kes varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI) dicatatkan.

Kumitaa berkata, tumpuan sekarang tidak sepatutnya hanya pada kadar positif dan nilai R-naught (R0) semata-mata, tetapi juga mengenai strain dan semudah mana ia menular.

“Pada pendapat saya, kadar positif negara akan meningkat walaupun ‘lockdown’ dilaksanakan. Ini disebabkan varian baharu. Ia lebih mudah merebak.

“Mungkin kita boleh mengambil pendekatan Singapura. Sebaik sahaja kita memberikan vaksin kepada majoriti populasi, kita boleh mengisytiharkannya sebagai endemik, sesuatu yang akan wujud bersama kita selamanya.

Dr Muhammad Amir Yunus.

“Ia akan sama seperti selesema, dengan individu perlu mengambil suntikan sekali setahun.”

Amir berkata, Covid-19 akan terus berkembang selagi rantaian penularan berterusan.

Katanya, fokus sepatutnya diberikan kepada vaksinasi.

Beliau menggesa pelaksanaan “lockdown” dipertimbangkan semula dengan segera kerana ia terbukti tidak berkesan mengurangkan jumlah kes Covid-19.

“Lockdown bukan lagi satu-satunya langkah berkesan untuk membendung penularan pada masa depan.

“Juga, langkah ‘lockdown” semasa kita separuh masak akibat kepentingan ekonomi dengan kebanyakan kilang masih beroperasi.

“Dengan lebih banyak vaksinasi dan penurunan ketara kes Covid-19 yang serius, kita boleh mengambill laluan endemik seperti negara jiran kita dan membina semula ekonomi.

“Saya fikir paling tidak apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah mengkaji atau mempertimbangkan semula strategi ‘lockdown’. Mungkin kita boleh menggunakan langkah lebih ketat di negeri dengan jumlah kes tinggi dan melonggarkan syarat di negeri yang mencatatkan kes lebih sedikit.”

Tiada ulasan: