Selasa, 29 Jun 2021

Tawar jual vaksin Covid-19: Kalau ada pun hanya cecair tipu, kata polis


Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa jika ada tawaran berkaitan suntikan vaksin Covid-19 selain yang disediakan kerajaan dan mengenakan bayaran tertentu, ianya adalah palsu dan menipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ini kerana vaksin tidak boleh dijual di luar atau secara terbuka.

Oleh itu katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan sebarang taktik digunakan pihak yang kononnya menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 dengan bayaran tertentu di negara ini.

“Sebenarnya vaksin tidak boleh dijual di luar dan tidak dijual secara terbuka di pasaran kerana semua program suntikan vaksin di negara ini dikendalikan oleh kerajaan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ada pihak tertentu cuba memperdaya orang ramai yang dalam keadaan tertekan mahukan suntikan vaksin dengan cepat, sedangkan vaksin yang ditawarkan itu tidak wujud sebenarnya.

“Mereka sebenarnya tidak ada bekalan vaksin. Itu semua penipuan semata-mata. Kalau ada pun cecair dalam botol, itu cecair tipu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Berat (D9), di Bangunan KPJ di Kuala Lumpur.

Abd Jalil berkata JSJ Komersial telah menjalankan siasatan kes penipuan penjualan vaksin yang menyaksikan beberapa siri penangkapan di ibu negara, baru-baru ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan dua wanita dan seorang lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Brickfields, Rabu lalu selepas disyaki terbabit dalam penawaran penjualan vaksin Covid-19.

Penahanan dibuat selepas polis menerima laporan daripada Pegawai Penyelidik Covid-19, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan vaksin itu.

Siasatan mendapati orang awam dihubungi melalui telefon oleh suspek secara rawak dan ditawarkan RM420 bagi dos suntikan vaksin dan bayaran perlu dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan.

Abd Jalil berkata vaksin bukan bekalan yang boleh dijual begitu sahaja memandangkan ia adalah produk sensitif, eksklusif dan berkeselamatan tinggi.

“Jangan sesekali percaya dengan penipuan mereka kerana vaksin tidak boleh dijual di luar sewenang-wenangnya dan perlu ikut pendaftaran MySejahtera.

“Kita minta orang ramai yang belum mendapat suntikan vaksin bersabar sehingga mendapat memperoleh jadual suntikan vaksin mengikut masa janji temuj ditentukan Kementerian Kesihatan menerusi MySejahtera,” katanya.

Katanya, tiada isu kebolosan atau ketirisan dikesan berkaitan bekalan vaksin setakat ini kerana proses daripada ia dibawa masuk ke negara ini di lapangan terbang sehingga ke pusat simpanan vaksin di seluruh negara melalui prosedur pengurusan yang ketat serta dikawal rapi pasukan keselamatan.

Tiada ulasan: