Isnin, 28 Jun 2021

Jangan pertikai masjid jadi tempat suntikan, kata imam besar

Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, Majlis 
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memberi kebenaran 
untuk menggunakan kawasan masjid memandangkan ia (suntikan vaksin) bukan 
tindakan berulang-ulang. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Kegunaan masjid sebagai tempat pemberian suntikan vaksin Covid-19 tidak perlu dipertikai memandangkan ia bertujuan melindungi rakyat daripada jangkitan wabak itu.

Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, tindakan itu bukan untuk mengetepikan ibadah atau syariat Islam tetapi demi menjaga ummah keseluruhannya.

“Kita melihat dari segi keperluan untuk vaksin memandangkan kerajaan mahu rakyat divaksinasi, lagi pun penduduk yang pergi menerima suntikan hanya tempoh sekejap berbanding untuk solat melibatkan lima waktu. Jadi perkara ini tidak perlu dipertikaikan.

“Malah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memberi kebenaran untuk menggunakan kawasan masjid memandangkan ia (suntikan vaksin) bukan tindakan berulang-ulang. Selain ia juga dilaksanakan hanya dalam tempoh singkat, sekitar sehari atau dua hari sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas beberapa hantaran di media sosial yang tular mempertikaikan pihak berkaitan membenarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di masjid sedangkan tidak membenarkan solat berjemaah di masjid.

Mengulas lanjut, Muhammad Hana Pizi berkata, kebenaran itu telah diambil kira oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menilai risiko di lokaliti masjid termasuk pemilihan masjid juga tidak melibatkan masjid di kawasan yang mempunyai kes positif tinggi.

Beliau berkata, KKM juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan proses sanitasi sebelum dan selepas melaksanakan program pemberian suntikan vaksin di mana-mana masjid terlibat.

Tiada ulasan: