Selasa, 29 Jun 2021

Jangan berhimpun Rabu ini: Amaran polis


Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Polis memberi amaran tegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak dan individu susulan tular klip video mengajak orang ramai berkumpul di lokasi tertentu pada tengah hari 30 Jun ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim berkata polis mengesan video berdurasi 2 minit 40 saat yang disebar menerusi media sosial mengajak orang ramai berbuat demikian pada jam 12 tengah hari Rabu ini.

“PDRM ingin mengingatkan masyarakat bahawa prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pergerakan dan penganjuran aktiviti sosial masih berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara SOP yang berkuat kuasa termasuk tiada rentas sempadan negeri dan daerah kecuali bagi tujuan yang dibenarkan, dan aktiviti sosial yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di sesuatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

“Orang ramai dinasihati untuk tidak menyebarkan apa jua ahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP MKN yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

“PDRM juga menyeru orang ramai untuk terus mematuhi SOP dan bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk melandaikan keluk penularan wabak Covid-19,” katanya.

Tiada ulasan: