Selasa, 29 Jun 2021

Tok Pa, tiga individu beri keterangan

KOTA BHARU: Polis sudah mengambil keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan tiga individu lain susulan gambar yang tular sedang makan di sebuah kafe di Jeli, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata keterangan Ahli Parlimen Jeli itu dan dua pegawainya diambil semalam, manakala keterangan pemilik kafe berusia 26 tahun diambil kelmarin.

"Kita sudah mengambil keterangan Datuk Seri Mustapa dan tiga individu itu. Siasatan kita juga sudah selesai.

"Kes sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan susulan sama ada akan dikompaun atau dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Media sebelum ini melaporkan, Mustapa memohon maaf atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi sebuah kafe di Jeli.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mustapa turut menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Cafe, Kampung Kalai.

Tiada ulasan: