Rabu, 30 Jun 2021

Polis kawal ketat KL, JB: Tiada perhimpunan kumpulan baju hitam

cctv
PEMANDANGAN kawasan sekitar Dataran Merdeka yang dirakam kamera CCTV DBKL ITIS pada pukul 1.30 tengah hari.

KAWASAN-kawasan yang disebut oleh kumpulan baju hitam yang merancang untuk berkumpul di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan Johor Bahru lenggang setakat tengah hari ini berikutan polis menutup dan mengawal ketat jalan-jalan masuk ke kawasan tersebut.

Pemantauan melalui beberapa kamera CCTV ‘live’ trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan tersebut pada pukul 1.30 tengah hari mendapati tiada pergerakan kenderaan di Dataran Merdeka dan hanya sebilangan kecil kenderaan melalui jalan-jalan berhampiran kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menutup semua laluan keluar dan masuk ke Dataran Merdeka, serta mengawasi kawasan sekitar bangunan dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut dan Jalan Raja Chulan.

Beliau berkata, setakat 11 tengah hari, pihaknya masih belum mengesan sesuatu pergerakan mencurigakan yang berkaitan dengan aktiviti perhimpunan berkenaan.

“Sehubungan itu saya menasihatkanlah masyarakat di sekitar ibu negara dan orang ramai untuk tidak berkumpul seperti yang diarahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati berdegil dan melanggar arahan pihak polis selain mengambil tindakan terhadap mereka yang keluar tanpa kebenaran semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Selain daerah Dang Wangi, tinjauan media sejak pagi tadi mendapati pihak polis turut membuat sekatan jalan raya di Jalan Kuching dan Jalan Bangsar berhadapan Muzium Negara, menghala ke pusat bandar raya.

Sementara itu, di Johor Bahru, Polis Johor turut mengetatkan kawalan di pusat bandar raya itu dengan mengadakan SJR, selain menutup beberapa laluan utama di lokasi strategik.

Tinjauan Berita harian di hadapan pintu gerbang utama Istana Bukit Serene, mendapati anggota polis ditempatkan berkawal di setiap susur masuk kawasan berkenaan.

Khemah khas untuk anggota polis membuat kawalan turut didirikan bersebelahan pintu masuk utama Istana Bukit Serene dan kenderaan juga turut tidak dibenarkan berhenti di kawasan perkarangan istana.

Laluan ke Pejabat KWSP Negeri Johor juga turut dikawal ketat dan hanya kenderaan yang mempunyai temujanji vaksin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), sahaja dibenarkan melalui laluan itu. Kehadiran polis juga dilihat di sepanjang laluan ke bandar raya ini.

Tiada ulasan: