Selasa, 29 Jun 2021

RM100 juta untuk pemulihan khas PKS

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menggunakan peruntukan RM100 juta daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi pemulihan khas membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata peruntukan itu bagi membantu 90 peratus PKS yang mengusahakan perniagaan barangan dan perkhidmatan bukan bidang perlu atau dikategorikan 'First Close, Last Open' (FCLO) iaitu paling awal tidak beroperasi namun menjadi terakhir untuk dibuka kembali.

Katanya, program khusus itu dirancang memberikan penyelesaian menyeluruh bagi FCLO terjejas dengan terdiri daripada penasihat dan jururunding berstruktur, bimbingan dan latihan, pembiayaan dan pemantauan perkembangan.

"Dana ini akan memberi manfaat kepada 10,000 usahawan FCLO dengan setiap mereka bakal diberikan geran hingga RM10,000 menerusi program yang dikendalikan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).

"Sehingga kini, kementerian sudah mengenal pasti kira-kira 1,400 usahawan FCLO daripada 14 sektor perniagaan yang antaranya pusat kecantikan dan kesejahteraan diri, gunting rambut, urutan selepas bersalin, pengurusan acara, katering serta kedai buku dan alat tulis, serta lain-lain," katanya pada sidang media maya, hari ini.

Usahawan dalam bidang bukan perlu itu menghadapi cabaran getir berikutan perniagaan yang terawal ditutup dan yang terakhir dibenarkan beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mulai tahun lalu sehinggalah penguatkuasaan sekatan pergerakan pada masa ini.

Wan Junaidi berkata, perniagaan yang diberi keutamaan bagi Program Pemulihan FCLO MEDAC itu juga membabitkan pusat tuisyen, cucian kereta, jahitan serta perabot dan pertukangan kayu.

"Justeru program ini bukan memberikan bantuan kewangan semata-mata tetapi membantu peserta menjalani pemulihan, kenal pasti masalah dan memantau perkembangan mereka," katanya.

Katanya, jika tiada bantuan, kira-kira empat juta usahawan tempatan bakal kehilangan pekerjaan serta memberi kesan 12 juta orang rakyat jika kerajaan tidak menyalurkan bantuan berikutan hampir 90 peratus sektor PKS adalah daripada bidang bukan perlu.

"Menerusi kaji selidik dijalankan MEDAC mendapati bahawa lebih 80 peratus daripada usahawan FCLO ini dari kalangan berpendapatan rendah (B40). Ramai mereka tidak mempunyai simpanan serta faedah pekerjaan berikutan bekerja sendiri.

"Malah lebih daripada 60 peratus golongan ini tidak mempunyai insurans dan tidak mempunyai sebarang pelan perlindungan dan 'safety net' sekiranya mereka hilang pekerjaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, MEDAC sudah mencadangkan Kementerian Kewangan (MOF) supaya melonggarkan peraturan terkini mengenai kebankrapan bagi PKS yang perniagaannya terjejas teruk akibat PKP.

"Ini kerana kebanyakan PKS tidak dapat menjalankan perniagaan tetapi terpaksa membayar pinjaman dan komitmen kewangan lain serta sangat berisiko muflis, mengalami tekanan mental.

"Saya difahamkan, usahawan wanita paling ramai mengalami masalah ini kerana kebanyakan mereka ini berniaga barangan dan perkhidmatan 'non-essential'.

"Jadi kita harap MOF ada penyelesaian, kerana Amerika Syarikat ada mewujudkan program khas untuk usahawan yang muflis akibat COVID-19," katanya.

Tiada ulasan: