Selasa, 29 Jun 2021

Sektor perkilangan hanya sumbang 5 ke 10 peratus kes COVID-19: Azmin

 Siti Hafidah

Minta majikan patuh SOP, tingkat ujian saringan berkala

BANGI – Kes positif COVID-19 membabitkan sektor pembuatan dan perkilangan hanya melibatkan lima hingga 10 peratus sahaja, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau berkata, ini berdasarkan data yang dibekalkan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kluster-kluster yang wujud setiap hari.

Justeru katanya, adalah tidak benar untuk meletakkan kesalahan kepada sektor ekonomi khususnya pembuatan.

“Sudah tentu, apabila membenarkan sektor ekonomi beroperasi, kebarangkalian kes itu berlaku juga wujud.

“Ini tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah ditutup sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan ramai pihak supaya kilang ditutup kerana terus mencetuskan kluster yang menyumbang peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kelonggaran atau kebenaran aktiviti sektor ekonomi bersifat perkhidmatan perlu, adalah untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat khususnya Malaysia sebagai sebuah negara yang terlibat dalam rantaian bekalan global.

Katanya, berdasarkan data KKM yang diumumkan juga menunjukkan 75 peratus kes positif ketika ini adalah bersifat sporadik yang bermakna virus COVID-19 telah berada dalam komuniti.

“Justeru, kita meminta pihak majikan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain meningkatkan ujian saringan secara berkala susulan kes positif tidak menunjukkan gejala,” katanya.

Tiada ulasan: