Rabu, 23 Jun 2021

Tengku Mahkota kurnia peti simpanan bekalan vaksin

 Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mengurniakan peti simpanan bekalan vaksin Covid-19 bernilai RM84,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Ia bagi membantu Jabatan Kesihatan untuk simpanan bekalan vaksin Covid-19 dalam kuantiti yang berskala besar.

Pengelola Istana, Tengku Dato’ Azmi Tengku Jaafar berkata, sumbangan itu menzahirkan keprihatinan baginda masalah penyimpanan bekalan vaksin untuk diberikan kepada rakyat di Kelantan.

“Yang Teramat Mulis Tengku Mahkota Kelantan amat prihatin dan mengambil berat tentang masalah penyimpanan bekalan vaksin Covid-19 untuk dibekalkan kepada rakyat.

“Makluman daripada Jabatan Kesihatan peti penyimpanan itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan Parol, Wakaf Bharu, Kuala Balah, Cherang Ruku dan Kuala Krai,” katanya selepas majlis penyerahkan peti simpanan bekalan Covid-19 di Istana Balai Besar hari ini.

Katanya, peti simpanan bekalan vaksin Covid-19 itu dapat menampung sebanyak 5850 dos bagi Pfizer BioNTech dan 8000 dos bagi Sinovac.

“Yang Teramat Mulia Tenggu Mahkota Kelantan berharap rakyat jelata dapat menghadirkan diri ke program suntikan imunisasi Covid-19 bagi mencapai imunisasi Covid-19 khusunya di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, sumbangan yang diberikan pihak istana itu jelas membuktikan keprihatinan baginda terhadap kesihatan rakyat.

Katanya juga Kelantan dijangka akan menerima bekalan vaksin sejumlah 550,000 dos menjelang bulan depan.

“Dengan adanya peti simpanan vaksin Covid-19 diharap dapat menampung bekalan vaksin,” katanya.

“Justeru itu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tengku Mahkota Kelantan di atas pengurniaan peti simpanan bekalan vaksin ini,” katanya.

Terdahulu pengurniaan lima peti itu disempurnakan Tengku Azmi kepada Dr Zaini. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: