Oleh KOSMO!
CAPE TOWN – Seorang wanita warga Afrika Selatan yang mendakwa telah melahirkan kembar 10 atau decuplet dimasukkan ke hospital untuk menjalani penilaian psikiatri susulan spekulasi berita kelahiran itu palsu, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Gosiame Thamara Sithole, 37 yang kononnya memecahkan rekod dunia selepas melahirkan bayi kembar 10 telah dimasukkan ke wad psikiatri di Hospital Tembisa, Johannesburg minggu lalu.
“Penilaian kesihatan tersebut mendapati suspek tidak pernah hamil dan tiada parut pembedahan baharu di bahagian abdomen Sithole,” kata satu sumber.
Peguam Sithole, Refiloe Mokoena berkata wanita itu mendakwa dirinya kini sedang ditahan di hospital tanpa kerelaannya.
“Dia menolak untuk dibawa ke hospital bagi menjalani penilaian psikiatri kerana berasa dirinya waras.
“Namun begitu, dia kini berada dalam tahanan hospital dan tidak dibenarkan menerima pelawat,” kata Mokoena kepada laman berita tempatan, IOL.
Teman lelaki Sithole, Teboga Tsotetsi telah beberapa kali cuba untuk melawat kekasihnya itu namun tidak dimaklumkan tentang keadaan dan lokasi kesemua 10 bayi yang didakwa dilahirkan Sithole.
Pegawai perubatan juga berkata mereka tidak menemui sebarang rekod yang mengesahkan kelahiran decuplet di mana-mana hospital swasta atau awam. -Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan