HARAKAH DAILY
MELAKA: Melaka membenarkan pelaksanaan ibadah korban
bersempena sambutan Aidiladha, tertakluk kepada prosedur operasi
standard yang ketat dengan penyembelihan dilakukan di rumah sembelih
atau tempat yang dibenarkan.
Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawi
berkata antara rumah sembelih yang diberi kebenaran ialah Kompleks
Abatoir Jasin dan Kompleks Abatoir Alor Gajah milik Jabatan Perkhidmatan
Veterinar (DVS) dengan haiwan korban dihadkan kepada lima ekor untuk
kategori lembu/kerbau dan 10 ekor kambing/biri setiap hari selama empat
hari bermula 20 Julai.
“Selain rumah sembelih DVS, terdapat juga rumah penyembelihan swasta yang dilesenkan DVS serta tempat sembelih sementara diluluskan untuk melakukan ibadah korban.
“Penganjur yang ingin melakukan ibadah korban di tempat terbuka atau di kawasan yang mempunyai kemudahan hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada DVS sebelum 10 Julai ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata hanya 25 petugas berstatus warganegara dibenarkan terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban di satu-satu lokasi dan pengagihan daging korban pula perlu dilakukan secara penghantaran dari rumah ke rumah.
“Peserta ibadah korban tidak dibenarkan berada di kawasan pengurusan korban melainkan mereka sebahagian petugas yang dilantik.
“Peserta hanya dibenarkan hadir mengambil daging korban secara pandu lalu atau daging berkenaan dihantar ke rumah oleh petugas,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan