Selasa, 8 Jun 2021

RM1.5 bilion bayaran GKP 3.0 disalur kepada 1 juta PKS mikro mulai Khamis ini

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

PUTRAJAYA: Hampir sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro melibatkan penerima sedia ada Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang baharu lulus GKP 3.0 akan menerima bayaran sebanyak RM1,000 mulai Khamis ini secara berperingkat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM1 bilion dengan pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.

Menurut beliau, bayaran tambahan sebanyak RM500 melibatkan peruntukan hampir RM500 juta akan dibayar pada bulan depan menjadikan jumlah keseluruhan di bawah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion.

“Secara keseluruhan, sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara.

“Kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 8 Jun 2021 di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

Beliau berkata, kerajaan memutuskan pemberian bantuan itu iaitu GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih 1 juta peniaga mikro adalah di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan pada 17 Mac lalu.

Katanya, ia bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.

Pada 31 Mei lalu pula, melalui program Pemerkasa+, kerajaan mengumumkan komitmen sama sepanjang tempoh PKP 3.0, di mana jumlah tambahan sebanyak RM500 akan dibuat dengan menaikkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro.

“Ini bermakna, jumlah bayaran GKP 3.0 adalah sebanyak RM1.5 bilion,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: