Selasa, 8 Jun 2021

Masih ada majikan gagal patuhi SOP – Azmin

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

MOHAMED AZMIN ALI

PETALING JAYA : Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan masih terdapat majikan didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (​SOP) Covid-19.

Kata beliau, antaranya adalah majikan tidak memastikan pekerja mendaftarkan kehadiran di MySejahtera apabila tiba di premis dan menyebabkan telah dikompaun RM10,000 meskipun secara amnya pematuhan SOP adalah baik.

“Ada juga kilang di Shah Alam dikenakan kompaun RM50,000 dan diarahkan tutup selama 14 hari kerana didapati beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 walaupun syarikat mereka tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu. 

“Telah beberapa kali saya tegaskan, pihak MITI tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana syarikat atau majikan yang langgar SOP,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin memaklumkan, beliau bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengadakan lawatan mengejut ke beberapa buah kilang di Klang berdasarkan aduan orang awam.

Dalam pada itu,  Mohamed Azmin menegaskan ketidakpatuhan SOP juga boleh meragut nyawa seseorang sekiranya mereka dijangkiti Covid-19. 

“Kepada orang ramai, jika terdapat sebarang aduan mengenai pelanggaran SOP ini, sila adukan kepada covid19aduan@miti.gov.my.

“Kerjasama anda amat saya hargai. Ini bagi memastikan rangkaian Covid-19 dapat diputuskan dalam negara kita. Bersama kita cegah penularan wabak Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: