KUANTAN: Gara-gara ingin menunjuk lagak berani di jalan raya, dua remaja bawah umur antara tujuh ‘mat rempit’ yang ditahan selepas tular di laman sosial Facebook mempamerkan aksi bahaya ketika merempit di Jalan Pintasan Kuantan di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, susulan rakaman video itu, pihaknya berjaya mengesan dan menahan individu terlibat dalam satu operasi Khas Samseng Jalanan di sini, kira-kira pukul 9 malam semalam.
Menurutnya, semua individu yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 15 tahun hingga 27 tahun.
“Ekoran daripada video tular tersebut, risikan telah dijalankan bagi mengesan individu yang terlibat.
“Berdasarkan rakaman itu juga, mereka dipercayai berlumba menguji kelajuan dengan aksi menundukkan kepala di atas jalan raya di Jalan Pintasan Kuantan menghala ke Terminal Sentral Kuantan (TSK).
“Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, penunggang terlibat melakukan aksi berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain menggunakan motosikal skuter jenis Avantiz dan Solariz,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke balai bersama motosikal digunakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Semua yang ditahan kini direman selama empat hari sehingga Selasa depan.
“Dalam pada itu, pemilik tujuh motosikal itu turut diambil tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan motosikal digunakan penunggang tanpa lesen.
“Walaupun peringatan dan amaran diberikan berhubung prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di daerah ini, terdapat segelintir pihak terus degil keluar tanpa urusan dibenarkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment