SEJAK dilantik sebagai Ketua Polis Johor tahun lalu, nama Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjadi ‘buah mulut’ orang ramai.
Usaha berterusan yang dilakukan Ayob Khan bagi membanteras jenayah terutama dadah dan kejujuran melaksanakan tanggungjawab dipandang tinggi masyarakat.
Ketegasan beliau juga menghadirkan kegentaran kepada penjenayah.
Buktinya, sebanyak RM344.73 juta nilai dadah telah berjaya dirampas Polis Johor dalam tempoh hanya lima bulan pertama tahun ini.
Menurut Ayob Khan, jumlah berkenaan juga adalah peningkatan sebanyak 10 kali ganda berbanding keseluruhan tahun lalu.
Beliau berkata, pelbagai operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah berjaya mematahkan sindiket dadah dengan 6,748 kilogram dadah pelbagai jenis telah dirampas antara Januari hingga Mei lalu.
Sebagai perbandingan, kata Ayob Khan, JSJN Johor merampas 2,765 kilogram dadah pelbagai jenis berjumlah RM33.27 juta dengan 18,837 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan tahun lalu.
“Ini adalah yang tertinggi di Malaysia berbanding negeri lain. Op Jaring yang dilaksanakan berjaya menumpaskan sindiket dan pengedar dadah.
“JSJN JOhor juga berjaya merampas barang lain bernilai RM14.01 juta daripada suspek yang ditangkap.
“Kita menahan 5,820 individu dan juga jumlah barang lain yang dirasmpas juga dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu bernilai RM23.6 juta,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, walaupun siasatan menunjukkan dadah yang dirampas membabitkan pengedaran dalam negara, namun ada beberapa kes mendapati ia dibawa masuk dari Thailand.
Katanya, dadah tersebut adalah untuk diedarkan ke pasaran Indonesia melalui pelabuhan haram sekitar negeri tersebut.
Ayob Khan memaklumkan, hasil kerjasama orang awam dan penguatkuasaan lebih ketat melalui Op Jaring telah menyumbang kepada kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan dadah.
“Sempadan negeri yang ketat oleh Polis Maritim memang membuahkan hasil dengan penangkapan beberapa sindiket yang cuba menyeludup dadah melalui pelabuhan haram di daerah Muar untuk diedarkan ke Indonesia.
“Tahun lalu, 15 sindiket tumpas dengan 174 suspek ditangkap di bawah Op Jaring. Kita juga merampas dadah bernilai RM12.4 juta dan barang lain berjumlah RM5.8 juta daripada sindiket ini,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment