Saturday, June 5, 2021

‘Penghulu’ pesakit Covid-19

 Oleh NOR AINNA HAMZAH

Dass menerima panggilan video daripada Pak Ya yang baharu dikenalinya ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin dan bertindak menjadi 'Penghulu' pesakit Covid-19 – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN : Berkampung selama 20 hari di Hospital Tampin merupakan pengalaman paling berharga dan tidak mungkin dilupakan oleh Jesu Dass, 56, selepas dirinya disahkan positif Covid-19 3 Mei lalu.

Dass yang mendapat jangkitan susulan kontak rapat kepada individu yang menghadiri perjumpaan atas urusan kerja di Johor berkata, dari tarikh berkenaan hinggalah 23 Mei lalu, dia dapat melihat sendiri keadaan pesakit yang tidak mengenal usia muda dan tua sehinggakan ada yang memerlukan bantuan penafasan melalui mesin oksigen.

Menurutnya, dia juga dapat melihat sendiri bagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan terdiri daripada doktor dan jururawat yang komited memberikan khidmat kepada setiap pesakit bermula seawal pukul 8 pagi hingga lewat malam.

“Mereka (doktor dan jururawat) juga ada keluarga, namun mereka berkorban menjaga pesakit Covid-19 bukan hanya terdiri daripada warganegara Malaysia bahkan bukan warganegara juga mendapat layanan yang serupa.

“Jadi, bagi membantu mereka saya menyumbang bantuan memberikan motivasi dan semangat kepada pesakit baharu yang masuk serta tips pernafasan yang betul,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Indah, di sini, baru-baru ini

Dass yang memiliki syarikat kejuruteraan berkenaan menyatakan tugasnya itu menjadi lebih mudah apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Zakaria Nordin, 63, atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Ya turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama bermula 17 Mei hingga 23 Mei lalu.

Menurutnya, mereka berdua seolah-olah menjadi ‘Penghulu’ pesakit Covid-19 dan bergilir-gilir membantu doktor serta jururawat dalam menjaga pesakit yang lain.

“Bayangkan betapa ikhlasnya khidmat mereka ini bila ada warga emas yang sukar untuk mandi pun doktor sanggup menawarkan diri membantu memandikan warga emas berkenaan.

Dass berkata, atas dasar itu, dia dan Pak Ya sanggup menyantuni warga emas yang lain seperti mengambil air minuman dan juga membawa ke tandas bagi pesakit yang sukar bergerak.

“Tiada bayaran yang dikenakan ke atas pesakit yang dirawat oleh kakitangan Kementerian Kesihatan  Saya dirawat 20 hari pun tidak bayar apa-apa sedangkan ada rakan saya yang mendapatkan rawatan di hospital swasta selama dua minggu dikenakan bayaran sebanyak RM32,000.

“Jadi, apa salahnya kita sebagai rakyat Malaysia berterima kasih kepada kakitangan Kementerian Kesihatan dan membantu memudahkan urusan mereka.

Menurutnya, dia berasa kesal apabila terdapat pihak yang menghentam petugas kesihatan sehingga bertindak lebih pandai daripada “doktor” melalui pembacaan yang mereka peroleh dari internet.

“Kita kena sedar, kita semua manusia, doktor dan jururawat juga manusia bukan mesin yang boleh kita programkan untuk sentiasa beri khidmat sempurna.

“Tanpa khidmat mereka, mana mungkin saya serta rakan-rakan yang lain boleh pulih dari Covid-19 ini,” katanya yang turut mempunyai seorang anak lelaki berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Raub, Pahang. – UTUSAN ONLINE

No comments: