Khamis, 3 Jun 2021

Membimbangkan! Kematian angkara COVID-19 mungkin mencecah 26,000

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Petugas Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengangkat jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK pertama kali pandemik COVID-19 dikesan di Malaysia, hampir setiap hari Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengingatkan supaya duduk di rumah jika tiada urusan penting.

Hampir setiap hari juga tanpa jemu Ketua Pengarah Kesihatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi media sosialnya memberi amaran mengenai bahaya wabak tersebut.

Segala peringatan itu bukan sekadar ‘cakap-cakap kosong’ kerana dengan peningkatan jumlah kes dan kehadiran varian baharu yang ‘menggila’, COVID-19 ketika ini boleh membawa kepada lebih banyak angka kematian.

Sebelum ini, Dr. Noor Hisham pernah menyifatkan kes kematian sebanyak 98 korban pada 29 Mei lalu sebagai detik hitam negara.

Semalam pula, buat pertama kali angka kematian angkara COVID-19 melebihi 100 sehingga mencecah 126 korban sekali gus menjadikan kumulatif kes mencecah 2,993.

Namun begitu, berdasarkan trajektori semasa, kes kematian angkara COVID-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September. Satu jumlah yang amat menakutkan!

Anggaran kematian itu adalah sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian setakat ini.

Perkara itu dikongsikan Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dalam program Sinar Harian yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar secara langsung hari ini.

Lebih membimbangkan, kata Dr. Adeeba, kajian dilaksanakan Institue for Health Metric and Evaluation (IHME) University of Washington itu juga menjangkakan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.

“COVID-19 bakal menjadi punca kedua kematian di Malaysia selepas sakit jantung,” kata beliau seperti dipetik Bernama.com.

IMHE dalam laman webnya menyatakan anggaran itu mengambil kira enam pendorong perubahan kematian yang berlaku sejak bermulanya wabak berkenaan.

Pendorong itu termasuk jumlah keseluruhan kematian yang berkait secara langsung dengan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes kematian akibat penangguhan penjagaan kesihatan.

Selain itu, ia turut melibatkan pertambahan kematian disebabkan peningkatan gangguan kesihatan mental dan jumlah kematian yang menurun kerana kes kecederaan turut menurun disebabkan sekatan pergerakan.

Pada masa sama, penurunan kematian lain juga menurun disebabkan pengurangan penyebaran virus lain dan beberapa keadaan kronik seperti penyakit kardiovaskular yang berlaku kepada individu lemah yang boleh membawa maut dengan keadaan itu, meninggal dunia lebih awal disebabkan COVID-19.

Sementara itu, Dr. Adeeba yang juga Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia menegaskan bahawa semua rakyat perlu dilibatkan dalam usaha memerangi COVID-19 dengan sekatan pergerakan yang dilaksanakan ketika ini menjadi ‘medan peperangan’ penting.

“Kita sepatutnya melihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk berfikir, buat rancangan strategik dan atur semula. Buat rancangan yang benar-benar boleh dibawa ke hadapan sementara menunggu pelaksanaan pelaksanaan vaksin sepenuhnya.

“Saya tidak fikir kita mampu menghadapi sehingga PKP 5.0 pula.

“Pucuk pimpinan juga perlu mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat sebab dalam erti kata kesihatan awam, kepercayaan adalah mata wang kepada kesihatan awam…mahu atau tidak, kerajaan perlu mendapat semula kepercayaan itu yang diperoleh semasa PKP sebelum ini,” jelas beliau.

Tiada ulasan: