GARA-GARA mengakibatkan pencemaran minyak di Sungai Buluh Pasir Gudang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyerbu sebuah premis tanpa lesen perniagaan di kawasan perindustrian Pasir Gudang, malam tadi.
JAS dalam satu kenyataan berkata, bertindak atas aduan, pihaknya menjalankan siasatan di sepanjang Sungai Buluh dan mendapati punca sisa minyak hitam datang dari sebuah premis yang menjalankan aktiviti jual beli produk sawit.
Katanya, sepasukan penguatkuasa JAS Cawangan Pasir Gudang bersama-sama tiga anggota polis dari Balai Polis Pasir Gudang kemudiannya menyerbu premis berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati pelepasan minyak dilepaskan dari satu tangki sebuah lori tanker dalam kawasan premis.
“Dalam operasi yang berakhir pada pukul 11.00 malam, pihak premis telah serta-merta diarahkan untuk menjalankan pembersihan tumpahan minyak itu,” kata kenyataan itu hari ini.
JAS dalam pada itu berkata, sebanyak empat persampelan sisa buangan telah diambil untuk dianalisa Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Ujarnya, kertas siasatan juga akan dibuka untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. Kes disiasat di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS)1974.
“JAS akan sentiasa memantau aktiviti premis dan semua pemain industri diingatkan untuk sentiasa mematuhi AKAS 1974 dan tidak melakukan sebarang pencemaran,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, jika terdapat sebarang aduan pencemaran alam sekitar, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol JAS 1800882727 atau membuat aduan secara atas talian di eaduan.doe.gov.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan