Selasa, 8 Jun 2021

Gagal jarak fizikal masih kekal kes tertinggi ingkar SOP

 Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam kembali turun kepada 970 individu ditahan berbanding 1,214 individu yang diberkas kelmarin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 917 dikompaun, 49 lagi direman dan empat dijamin hasil pemantauan yang melibatkan 87,892 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi masih lagi sebab gagal patuh jarak fizikal iaitu sebanyak 265 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka dengan 203 kes, merentas kawasan dan makan di premis (133), gagal merekod butiran di premis (120), tidak patuh arahan PKP (117), membawa penumpang berlebihan (111) dan lain-lain (21).

“Seramai 21 pendatang tanpa izin ditahan dan lima kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 242 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seramai 380 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin dengan sejumlah 8,932 individu terbabit masih lagi berada di stesen kuarantin wajib selain 2,548 individu dibawa ke hospital, manakala 209,754 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 574 peruncit, 147 pemborong dan 30 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,089 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak 27 premis yang terlibat dikenakan kompaun.

Beliau juga mengesahkan, cuma enam daripada 21 pekerja asing didapati positif Covid-19 setelah menerusi ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia di seluruh negara semalam.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: