Saturday, June 5, 2021

Malaysia disenarai penerima vaksin Covax AS

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN

PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang sebanyak tujuh juta dos vaksin Covid-19 ke Asia melalui Covax dan Malaysia turut termasuk dalam senarai penerima.

Dalam satu kenyataan, Presiden AS, Joe Bidden mahu menjadikan AS sebagai gudang vaksin untuk dunia bagi membantu mencapai imuniti bagi masyarakat dunia.

“Dalam usaha untuk merealisasikan perkara itu, pentadbiran AS akan mengambil beberapa langkah tambahan dengan penyediaan kos yang cukup tinggi untuk Covax.

“Sumbangan bekalan vaksin AS kepada dunia ini diharapkan dapat mendorong negara lain untuk melakukan perkara yang sama serta bekerjasama dengan pengeluar AS untuk meningkatkan pengeluaran vaksin seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, sumbangan itu turut diharapkan dapat membantu lebih banyak negara mengembangkan kemampuan mereka sendiri untuk menghasilkan vaksin termasuk melalui sokongan rantaian bekalan global.

“Strategi vaksin ini adalah komponen penting strategi global kita secara keseluruhan untuk memimpin dunia dalam perjuangan mengalahkan Covid-19  termasuk bantuan kesihatan awam bagi menghentikan penyebaran.

“Dengan vaksinasi itu, ia dapat menguatkan keupayaan kesihatan awam secara global dan sentiasa bersedia meningkatkan tahap ketahanan diri bukan setakat virus Covid-19 tetapi juga virus lain yang mungkin wujud di masa depan,” katanya.

Secara keseluruhannya, lebih kurang enam juta dos untuk Amerika Selatan dan Amerika Tengah iaitu Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Ecuador, Paraguay, Bolivia, Guatemala, El Salvador, Honduras, Panama, Haiti dan negara Komuniti Caribbean (CARICOM) serta Republik Dominika.

Sementara itu, lebih kurang tujuh juta untuk Asia iaitu India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Maldives, Malaysia, Filipina, Vietnam, Indonesia, Thailand, Laos, Papua New Guinea, Taiwan dan Kepulauan Pasifik. – UTUSAN

No comments: