MALAYSIAKINI
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan membincangkan insiden pencerobohan tentera udara China dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi di luar Mesyuarat Khas Menteri Luar Asean-China di China pada Isnin (7 Jun).
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat di Chongqing itu sempena ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog Asean-China.
"Semua Menteri Luar Asean dan Menteri Luar Wang Yi serta Setiausaha Agung Asean dijangka menghadiri mesyuarat itu," kata kenyataan itu.
Semasa Mesyuarat Khas itu, Menteri Luar Asean dan China juga akan bertukar-tukar pandangan dan meneroka kaedah serta kerjasama dalam menangani wabak Covid-19, selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.
Hishammuddin dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Wang Yi di samping meneroka perkongsian lebih substantif dan dinamik dalam pelbagai bidang termasuk kerjasama vaksin Covid-19, pembangunan infrastruktur, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan dan pertanian berteknologi tinggi.
Kedua-dua menteri berkenaan juga akan berunding kaedah terbaik untuk memastikan insiden itu tidak berulang demi menjaga keamanan serta kestabilan di Laut China Selatan dan menghindari sebarang kejadian tidak diingini.
Malaysia pada 3 Jun memanggil Duta Besar China di Kuala Lumpur dan mengeluarkan nota diplomatik susulan insiden berkenaan.
Pada Isnin (31 Mei) 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (MMZ), dan Tentera Udara Diraja Malaysia bertindak menempatkan pesawat tempurnya dan Malaysia mengeluarkan nota diplomatik.
Menurut kenyataan itu lagi, Hishammuddin akan menghadiri Forum Diplomasi Antalya yang julung kali diadakan di Antalya, Turki, pada 18-20 Jun.
Di samping itu, menteri luar juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Mesir, Kuwait dan Qatar.
Lawatan itu, selain untuk memperkukuh lagi hubungan ia juga memberi peluang untuk mengetengahkan sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan pendirian konsisten Malaysia berhubung konflik Israel-Palestin.- Bernama
No comments:
Post a Comment