Thursday, June 10, 2021

Kenyataan Dong Zong hina toleransi kaum peribumi di Malaysia

Siti Hafidah

Sengaja tutup hakikat sistem pendidikan Malaysia pelbagai aliran

BANGI – Luahan kesal pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong mengenai pendidikan negara seolah-olah menghina sistem pendidikan kebangsaan serta sikap toleransi bangsa peribumi.

Terdahulu, pertubuhan radikal itu mendakwa kesal dengan pendidikan negara yang terperangkap dalam sistem yang bersifat tunggal.

Pengerusinya, Tan Tai Kim mendakwa, setiap aliran pendidikan kononnya kaya dengan ciri-ciri kepelbagaian dalam masyarakat.

Dakwanya, kewujudan pendidikan Cina dan sekolah aliran berlainan mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat.

Tai Kim mendakwa, sehingga kini, Malaysia adalah sebuah negara dengan kepelbagaian, namun terperangkap dalam sistem negara yang bersifat tunggal.

Membidas dakwaan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Dong Zong ini adalah suatu kenyataan yang sombong, tidak jujur serta tidak bertanggungjawab.

Bidasnya, pertubuhan pendidikan Cina itu sengaja menutup hakikat bahawa sistem pendidikan di Malaysia ini adalah pelbagai aliran.

“Kononnya sistem kini adalah satu aliran dan menindas, apakah segala peruntukan kerajaan kepada sekolah vernakular yang mencapai berbilion ringgit tidak cukup?

“Kalaulah dengan adanya kepelbagaian aliran yang ada pada hari ini pun mereka ‘meroyan’ sebegini rupa tiba-tiba, saya tidak dapat bayangkan bagaimana ‘terbakarnya’ mereka jika satu hari nanti kerajaan benar-benar menjadikannya satu aliran nanti?

“Logik yang mudah, apa tujuan sebenarnya dikekalkan sekolah pelbagai aliran di negara kita jika mereka enggan berasimilasi dengan identiti nasional dan pada masa yang sama berkelakuan angkuh dan tidak bersyukur melalui provokasi-provokasi sebegini?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada perpaduan dan integrasi nasional akan tercapai jika penanaman perasaan benci terhadap identiti nasional diteruskan sebegini.

“Sekali lagi, saya menyeru agar kerajaan melihat semula keabsahan status kewujudan sekolah vernakular di negara kita. Jangan biarkan pemikiran rasis ultra kiasu sebegini yang sedang menjadi kanser dalam masyarakat ini terus didanai oleh pemerintah.

“Fikirkanlah demi masa depan negara, wahai pemerintah,” katanya.

No comments: