Isnin, 14 Jun 2021

Kelantan peruntuk RM4.5 juta untuk ibu tunggal

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta tahun ini bagi membantu asnaf khususnya wanita dan ibu tunggal yang terkesan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi, berkata sumbangan siri kedua berkenaan akan diagihkan bermula Julai ini melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negeri.

Sumbangan berkenaan akan diberikan kepada golongan asnaf dan miskin terdiri daripada armalah (ibu tunggal), anak yatim selain beberapa program lain seperti Bantuan Cakna Hawa, Bantuan Cakna Suri siri kedua dan Jejak Amal COVID-19 Komuniti yang memfokuskan kepada ketua keluarga yang terjejas pendapatan harian.

"Dengan sumbangan yang dihulurkan ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya dalam agihan barangan makanan asas.

"Justeru itu, bagi mereka yang tercicir dalam mendapatkan bantuan yang sepatutnya diperoleh, perlulah memaklumkannya kepada penghulu di kawasan masing-masing," katanya di Pusat Pemberian Vaksin Sementara Bagi Daerah Kota Bharu di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Mumtaz berkata, jika dibandingkan dengan pelaksanaan PKP 1.0 yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu, rakyat kini lebih bersedia apabila sekatan pergerakan penuh diadakan pada awal bulan ini.

"Namun, berdasarkan pemerhatian, kebanyakan mereka yang terjejas dan meminta bantuan adalah rakyat kita yang bekerja di luar Kelantan namun terpaksa balik ke kampung sebaik diberhentikan kerja atau kehilangan pekerjaan ketika COVID-19.

"Apabila mereka datang mendapatkan bantuan dan apabila ditanya, kebanyakannya adalah mereka yang bekerja di luar dan mengambil keputusan pulang ke kampung," katanya.

Tiada ulasan: