JOHOR BAHRU: Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri ‘rumah’ kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dilengkapi 20 mesin defibrilator luaran automatik (AED) sebagai persediaan kecemasan kepada pemain mahupun penyokong.
Menurut hantaran di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers berkata, kelab bolasepak itu sentiasa memastikan keselamatan para pemain dan penyokong berada pada tahap terbaik dengan menyediakan mesin AED di sekeliling stadium.
“Mesin AED adalah mesin perentak jantung yang boleh digunakan pasukan perubatan dan pihak keselamatan ketika kecemasan jika terjadi serangan jantung kepada pemain mahupun penyokong.
“Mesin AED yang terdapat di sekeliling stadium menjadi antara faktor yang menyelamatkan pemain Denmark, Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah ketika perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020,” menurut hantaran itu hari ini.
Peminat sukan bola sepak dunia dikejutkan dengan insiden pemain Denmark itu yang rebah ketika aksi menentang Finland dalam kempen Euro 2020, awal pagi tadi.
Kapten Denmark, Simon Kjaer adalah pemain pertama yang memberikan rawatan awal kepada Eriksen bagi memastikan rakannya itu terus bernafas dan tidak mengalami situasi yang lebih serius.
Kjaer turut memastikan Eriksen tidak dikerumuni pemain lain serta bertindak pantas melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum ketibaan doktor pasukan.
Menurut kenyataan itu lagi, petugas keselamatan serta marsyal stadium berkenaan diberikan tunjuk ajar bagi menggunakan peralatan tersebut sekiranya keadaan mendesak.
“Marsyal Stadium JDT juga kesemuanya sudah dilatih untuk menggunakan
alatan ini sekiranya berlaku kecemasan sementara menunggu bantuan
paramedik dan ambulans,” ujarnya. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan