SEBANYAK 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa kelmarin hingga 14 Jun ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini diluluskan setelah mengambil kira 60 peratus kehadiran fizikal di tempat kerja.
Katanya, jumlah yang diluluskan untuk tempoh lockdown ini juga hanya kira-kira 20 peratus atau satu perlima daripada syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Terdapat 586308 syarikat telah mendaftar dengan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, dengan gabungan tenaga kerja sebanyak 10.2 juta.
“Ini adalah pengurangan drastik jumlah tenaga kerja,” katanya pada sidang media hari ini seperti dipetik daripada laporan portal The Star.
Walaupun syarikat-syarikat ini berdaftar dengan MITI, Azmin berkata, kelulusan diberikan oleh kementerian masing-masing yang bertanggungjawab di setiap sektor.
Azmin berkata, terdapat 15 kementerian yang menggunakan sistem CIMS dan setelah kementerian masing-masing meluluskan permohonan untuk beroperasi, syarikat-syarikat dapat mencetak surat kelulusan.
“MITI bukanlah satu-satunya penentu dalam menentukan sama ada sektor perniagaan dianggap sebagai sektor penting atau sebaliknya,” katanya.
Pada 31 Mei, Majlis Keselamatan Nasional (MKN) memutuskan bahawa kelulusan bagi syarikat di bawah sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa MCO akan diperoleh melalui CIMS 3.0, yang dikoordinasikan oleh Miti.
Di bawah penutupan dua minggu yang bermula pada 1 Jun, syarikat diminta untuk memohon surat kelulusan baru agar pekerjanya boleh melakukan perjalanan ke tempat kerja.
Beberapa pihak sebelum ini membangkitkan mengenai jumlah syarikat yang dibenar beroperasi sepanjang lockdown ini yang dibimbangi tidak mencapai matlamat sekatan penuh pergerakan dilakukan.
Ketika ini, jumlah kes baharu COVID-19 melebihi 7,000 penularan sehari manakala kes kematian semalam tertinggi pernah dilaporkan melibatkan 126 kes.
Sehubungan itu, sekatan pergerakan penuh dilaksanakan kerajaan mulai 1 Jun lalu sebagai langkah mengekang penularan wabak itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan