Rabu, 9 Jun 2021

Jangan dengar cerita karut, Sultan Johor ingatkan rakyat tidak terpengaruh antivaksin

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Islam tidak membenarkan umatnya 
berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa berusaha mengelaknya. (Gambar 
Bernama)

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam, agar tidak mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin.

Sebaliknya, umat Islam perlu memahami kepentingan pengambilan vaksin yang bertujuan mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan ramai.

Titah baginda, Islam sendiri mengajar umatnya agar sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan daripada apa juga kemudaratan, khususnya wabak penyakit.

Sultan Johor juga bertitah bahawa hukum agama menegaskan bahawa membanteras keburukan adalah lebih utama daripada membawa sesuatu kebaikan.

“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak antivaksin ini. Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan Covid-19 dapat dicegah,” titah Sultan Ibrahim di Facebook rasmi baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa mereka yang menolak vaksin yang disediakan kerajaan tanpa sebab munasabah, malah difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa, seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak yang amat berbahaya itu.

“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya. Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, janganlah leka akan pematuhan SOP pula.

“Isu vaksin ini juga tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya kerajaan sedang dan terus berusaha serta mengambil pelbagai pendekatan berkesan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk mendapatkan vaksin,” titah baginda.

Tiada ulasan: