KOTA KINABALU: Sebuah kumpulan pengguna berkata, pindaan prosedur operasi standard (SOP) waktu perniagaan di Sabah beberapa kali baru-baru ini ketika sekatan pergerakan penuh hanya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan memerangi wabak Covid-19.
Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Nordin Thani berkata, kekerapan mengubah sesuatu keputusan juga akan menyebabkan kerajaan negeri dilihat tidak serius.
“Ini perkara serius, membabitkan nyawa dan ekonomi rakyat. Kalau balik-balik ubah (SOP), rakyat akan melihat kerajaan seperti main-main dan tidak serius dalam memerangi Covid-19.
”Sebab itu saya katakan pengurusan krisis itu penting kerana bila ada kelemahan dalam pengurusan krisis, sudah pasti hasilnya akan mendapat kecaman ramai,” katanya kepada FMT
Nordin berkata, perkara itu boleh dielakkan jika jawatankuasa pengurusan krisis yang ditubuhkan kerajaan negeri lebih efektif mencari ketetapan dalam sesuatu keputusan dengan mengadakan perbincangan terperinci dengan semua industri berkaitan.
“Saya yakin jika ini dilakukan, keputusan yang dicapai akan lebih baik dan tidak perlu lagi diubah beberapa kali seperti sebelum ini,” katanya.
“Pertukaran SOP waktu operasi perniagaan baru-baru ini pasti memberi kesan kepada peniaga dan pengguna kerana mereka ‘bingung’ dengan keputusan tidak stabil kerajaan.”
Sementara itu, walaupun turut bersetuju kekerapan menukar SOP kurang baik, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, Foo Ngee Kee berterima kasih kepada kerajaan yang sudi mendengar pandangan pihak industri.
“Kerajaan sepatutnya mengkaji perkara ini (waktu operasi perniagaan) sedalam-dalamnya, bila masa sesuai (perniagaan beroperasi) dan bagi saya juga mengubahnya dengan hanya perbezaan satu jam tidak mendatangkan apa-apa kesan,” katanya.
Ahad lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun mengumumkan waktu perniagaan bagi perkhidmatan perlu diselaraskan dari 9 pagi hingga 5 petang, sebelum dipinda kira-kira sejam selepas itu kepada 9 pagi hingga 6 petang, manakala 6 pagi hingga 3 petang dikekalkan bagi pasar awam serta pasar harian.
Kelmarin, waktu perniagaan ditukar sekali lagi kepada 7 pagi hingga 7 petang untuk restoran dan pasar raya.
Masidi berkata, pindaan waktu perniagaan itu dibuat selepas mengambil perhatian terhadap maklum balas pelbagai pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan