RIBUT tak ada, guruh tak berdentum tiba-tiba muncul sebuah lubang gergasi seluas 80 meter di hadapan sebuah rumah seorang penduduk di kawasan pedalaman Mexico baru-baru ini, lapor portal Mirror.
Lubang gergasi itu yang makin hari makin membesar itu mengancam menelan rumah di diami keluarga Heriberto Sanchez dan menimbulkan seribu tanda tanya mengapa ia tiba-tiba muncul di situ.
Menurut Sanchez pada kejadian Sabtu lalu itu, dia terdengar bunyi dentuman kuat berdekatan rumah mereka, tetapi hanya menyangkakan ia bunyi guruh di langit.
Selepas keluar melihat, Sanchez ternyata terkejut apabila mendapati kawasan rumahnya mempunyai satu lubang besar.
Sejak dari hari itu, penduduk yang tinggal di Santa Maria Zacatepec, negeri Puebla mengatakan bahawa lubang tersebut semakin hari semakin membesar.
Pada Ahad lalu, lubang tersebut dianggarkan telah menjadi seluas hingga 30 meter dan sudah dipenuhi air hanya dalam masa 24 jam.
Kemudian, dalam masa seminggu lubang tersebut menjadi semakin luas dengan kelebaran 80 meter dan ia mengundang bahaya kepada keluarga Sanchez.
Mereka juga bimbang jika lubang itu semakin membesar dan membuatkan mereka hilang tempat tinggal.
“Kami tidak mempunyai apa-apa. Kami bukan dari sini. Kami tiada saudara-mara. Kami bersendirian,” kata Sanchez.
Menurut Gabenor negeri Puebla, Miguel Barbosa, lubang tersebut akan terus membesar sehingga air di dalamnya berhenti memberi tekanan.
“Perkara yang paling penting sekarang ni adalah keselamatan penduduk,” tambahnya lagi.
Berkenaan dengan isu ini, para saintis berpendapat bahawa masalah geologi ataupun variasi kandungan air tanah boleh menyebabkan tanah tenggelam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan