Selasa, 8 Jun 2021

Kg. Sungai Penchala di KL antara tujuh lokaliti kena PKPD

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Kampung Sungai Penchala di ibu negara antara tujuh lokaliti yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak bermula Khamis ini berikutan berlaku peningkatan ketara kes Covid-19 dengan 65 kes positif dikesan dalam masa dua minggu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat hari ini, turut dikenakan arahan sama sehingga 23 Jun depan ialah enam lagi lokaliti di Sabah antaranya Kampung Likas di Kota Kinabalu serta Kampung Kebayau, Daerah Kota Belud. 

Tidak ketinggalan katanya, dua lokaliti di Sandakan iaitu Kampung Sungai Obar di Batu 7 dan Fasa 9B, Taman Indah Jaya yang secara keseluruhan sudah merekodkan 28 kes selain Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Bahagian Kudat dan Taman Wawasan di Daerah Beaufort, Bahagian Pedalaman.

“Ladang FGV Kalabakan Selatan, Daerah Kalabakan, Bahagian Tawau dilanjutkan PKPD sehingga 22 Jun ini kerana masih berlaku penularan serta terdapat 56 kes baharu dalam kalangan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Begitu juga kata beliau, PKPD di Felda Redong 1, Mukim Labis, Daerah Segamat, Johor yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan lagi sehingga 23 Jun ini, namun enam lagi lokaliti ditamatkan PKPD antaranya Kepulauan Tumpat Mukim Sungai Pinang, Jajahan Kelantan selain Kampung Sungai Pukul di Pulau Sebatik dan Taman Desa Ranggu di Bahagian Tawau, Sabah selepas merekodkan 46 kes positif Covid-19.

Di Sarawak pula, tiga lokaliti di Daerah Tanjung Manis, Bahagian Mukah juga berakhir PKPD esok seperti dijadualkan membabitkan kawasan Rumah Panjang Isa anak Blone, Rumah Panjang Ben anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan Telok Gelam. – UTUSAN

Tiada ulasan: