Selasa, 22 Jun 2021

Dua pelajar ditahan dalam parti dadah

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
KESEMUA suspek yang ditahan polis  di sebuah kondominium di Shah Alam, Selangor awal pagi tadi. - IHSAN POLIS

SHAH ALAM: Lapan individu termasuk dua pelajar sekolah ditahan dalam parti dadah di sebuah kondominium di Seksyen 7, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menahan kesemua suspek selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat yang mengesyaki mereka sedang berparti di sebuah rumah.

“Bertindak daripada aduan itu, satu pasukan Task Force Pematuhan Covid-19 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melakukan pemeriksaan di rumah itu kira-kira pukul 1 pagi.

“Pemeriksaan mendapati semua suspek yang berusia antara 15 tahun hingga 23 tahun itu sedang berparti di rumah berkenaan dipercayai di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati mereka mengadakan parti tertutup tersebut bermula pukul 6.30 petang semalam dan dijangka tamat pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata, parti terbabit dianjurkan mereka sendiri tanpa membabitkan mana-mana pihak, dengan membayar RM130 untuk menyewa kondominium bagi malam itu.

“Siasatan polis mendapati dua suspek perempuan yang ditahan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Klang.

“Ujian saringan air kencing telah dijalankan menunjukkan tujuh suspek positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo,” katanya.

Baharudin berkata, tujuh suspek  direman tiga hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Selain disiasat, polis jugamengeluarkan kompaun RM4,000 setiap seorang terhadap kesemua suspek kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: