Wednesday, June 2, 2021

Berita tidak benar, PDRM buka 21 kertas siasatan

 leh MUHD AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF

Acryl Sani.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka sebanyak 21 kertas siasatan berhubung penghasilan atau penularan berita tidak benar berkaitan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 21 kertas siasatan tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2021 sejak dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen.

“Seksyen 4(1) ordinan ini memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam atau mana-mana golongan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sebanyak 10 tangkapan telah dibuat secara berasingan terhadap individu yang disiasat di bawah ordinan ini.

“Tiga tangkapan telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat(Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021.

“Sementara tujuh yang lain diberi jamin polis sehingga siasatan dilengkapkan,” ujarnya.

Tambahnya, Ordinan Darurat(Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2021 yang diwartakan pada 11 Mac lalu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

“Ia memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiarkan menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

“PDRM juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran orang ramai,” tegasnya. -K! ONLINE.

No comments: