Thursday, June 10, 2021

Bakal guru terpaksa jadi jaga di sekolah

 Oleh Ahmad Suhael Adnan

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Cita-cita asal ke menara gading adalah untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan menjadi guru terlatih, namun selepas menamatkan pengajian hanya dapat bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah.

Itu realiti pahit dihadapi sejumlah graduan pendidikan universiti awam (UA) apabila impian membina kerjaya sebagai guru terus buntu, sehingga terpaksa menerima apa saja peluang pekerjaan yang ada, termasuk menjadi buruh kasar yang tidak memerlukan sebarang kelayakan ijazah.

Lebih memeritkan, ijazah pendidikan yang dipegang seolah-olah 'tidak laku' apabila sejumlah besar syarikat dan agensi kerajaan tidak begitu berminat mengambil mereka bekerja.

Lepasan ISMP Sejarah, Riuh Mendorig, 27, terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di Penampang, Sabah, sejak lebih dua tahun lalu selepas menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2018.

Sejak itu juga, Riuh sentiasa berdepan sindiran segelintir individu yang menganggap usahanya menyambung pengajian dalam bidang pendidikan untuk mencapai cita-cita menjadi guru, hanya sia-sia.

"Memang sedih dan marah apabila ada yang menyindir, namun saya anggap belum sampai rezeki.

"Sementara belum dapat bergelar pendidik, saya menerima apa saja pekerjaan yang ada ketika ini.

"Saya masih tidak berputus asa untuk menjadi seorang guru suatu hari nanti," katanya kepada BH.

Ketika meninggalkan kampung halaman dan berkelana lebih 1,500 kilometer ke UPSI untuk mencapai cita-cita menjadi guru, Riuh tidak menyangka akan menjejak kaki semula di sekolah, namun kali ini sebagai pengawal keselamatan.

"Saya pernah memohon pekerjaan lain dalam sektor kerajaan mahupun swasta termasuk sebagai kakitangan sumber manusia di pusat beli-belah, namun tiada yang mahu menerima kerana saya ada ijazah pendidikan," katanya tidak menolak ia adalah salah tanggapan lulusan universiti perlu dibayar gaji tinggi.

Sementara itu, graduan ISMP Ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurul Syazwani Mohamad Ghaazali, 29, juga senasib dengan Riuh, masih menunggu panggilan temu duga sejak menamatkan pengajian kira-kira empat tahun lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, anak jati Kuala Nerus, Terengganu itu, bertukar-tukar pekerjaan termasuk menjadi guru ganti, menjual kuih raya dan kini sebagai tutor di rumah.

"Sejak konvokesyen, memang ada beberapa panggilan temu duga, tetapi bukan untuk pengkhususan ekonomi kerana pengkhususan ini tidak dibuka sejak lima tahun lalu.

"Hakikatnya, graduan pendidikan dilatih mengajar pelbagai subjek.

"Saya sebagai tutor di rumah, kini mengajar beberapa mata pelajaran, termasuk untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

" Ada rakan dipanggil temu duga atas kuota pengkhususan mereka tetapi apabila masuk ke sekolah, mengajar subjek lain. Jadi, mengapa panggilan temu duga masih mengikut pengkhususan?

"Saya tidak cemburu kepada graduan ISMP yang sudah berjaya bergelar guru, cuma berharap diberi peluang untuk ditemu duga kerana cita-cita untuk bergelar pendidik masih belum terpadam," katanya.

Graduan ISMP Muzik, Richard Antaim, 28, yang tamat pengajian di UPSI pada 2018, kini meneruskan kelangsungan hidupnya dengan menjual sayur di Kampung Ratau di Kota Belud, Sabah, sejak lebih setahun lalu kerana belum dipanggil untuk ditemu duga sejak tamat konvokesyen.

"Nasib sama turut dialami 33 rakan lepasan ISMP Muzik bagi tahun sama dengan saya.

"Saya pernah cuba meminta pelbagai pekerjaan termasuk sebagai kerani, namun majikan mungkin ragu-ragu untuk ambil bekerja kerana mungkin anggap saya akan berhenti apabila memperoleh panggilan temu duga guru nanti," katanya.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, dia yang kini berpendapatan RM500 hingga RM800 sebulan, berharap kerajaan akan mengubah dasar dengan mengutamakan graduan pendidikan bagi pengambilan guru interim, berbanding membukanya kepada mana-mana lepasan universiti tanpa mengira kursus yang dipelajari.

"Pengambilan guru interim lebih mendahulukan pemegang ijazah selain pendidikan, atas alasan kami akan ditawarkan temu duga menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

"Kami agak terkilan kerana ada lambakan graduan pendidikan, tetapi tiada asas mengajar pula diberi keutamaan," katanya.

No comments: