Selasa, 8 Jun 2021

Hina Agong beri kesan besar kepada kedaulatan negara

Oleh EVA NATASHA SADALI
 


KUALA LUMPUR: Golongan yang menghina serta mempertikai sistem Institusi Raja dan Raja Berperlembagaan sebenarnya tidak pasti peranan sebenar entiti tertinggi itu di dalam negara ini.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, tindakan golongan berkenaan mampu memberi kesan yang sangat besar kepada Persekutuan Malaysia, termasuk sistem eksekutif, legislatif serta judisiari.

Menurutnya, peranan Yang di-Pertuan Agong sangat besar dan paling utama dalam ketiga-tiga sistem berkenaan yang mana Agong mengepalai kesemua sistem itu.

“Kita boleh melihat kepada Perlembagaan Malaysia kerana institusi diraja ini dikatakan mempunyai 10 peratus daripada perkara-perkara yang disebut di bawah Perlembagan Persekutuan itu dan ia berkaitan dengan peranan raja-raja dalam negara kita.

“Berdasarkan kepada perkara itu kalau ketua utama negara dihina, ia memberi kesan besar kepada kedaulatan negara kerana Agong itu merupakan simbol utama kepada kedaulatan negara.

“Maksud kedaulatan ini ialah mana-mana pihak tidak boleh menceroboh ataupun memaksa Malaysia untuk melakukan sesuatu kerana Malaysia adalah negara yang berdaulat dan lambang kedaulatan itu adalah raja-raja,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Jelas Mohd Syakir lagi, peranan entiti tertinggi negara itu jelas termaktub di bawah Perkara 41 di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana Agong berperanan sebagai ketua tertinggi di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ini juga merupakan satu kemuncak, kalau kita ada tentera yang menjaga keselamatan negara kita, semua orang menghormati kedudukan kepimpinan paling tinggi tentera kita

“Maka kita boleh nampak kekuatan dari sudut keselamatan negara, kalau Agong dihina, kesannya ialah kita telah menampakkan kelemahan dalam keselamatan negara yang memberi kesan terhadap keselamatan negara,” katanya.

Tambah beliau, kedudukan Agong juga disebut di dalam Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana meletakkannya sebagai Ketua Agama Islam di negara ini.

“Agong merupakan simbol agama Islam, kalau Agong dihina maksudnya ia memberi kesan kepada sudut hal ehwal agama Islam di Malaysia

“Jadi sepatutnya apabila penghinaan terhadap Agong berlaku, rakyat Melayu-Islam ini akan sendiri yang rasa sensitif sebab kepimpinannya itu dihina dan ia melibatkan kepimpinan agama Islam di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada semua pihak agar tidak mempersenda peranan dan kedudukan insitusi diraja negara ini kerana entiti tersebut merupakan simbol kekuatan yang paling tinggi dan perlu dihormati.

“Jangan sewenang-wenangnya boleh merendahkan dan menghina institusi Agong kerana parahnya lebih besar daripada itu iaitu kedaulatan kita akan dihina dan dicaci,” katanya.

Ujarnya, rakyat Malaysia perlu memainkan peranan menjaga kedaulatan serta kekuatan negara daripada diceroboh oleh anasir-anasir luar yang bertindak untuk menjatuhkan institusi Raja Berpelembagaan di negara ini. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: