Saturday, June 5, 2021

12,000 pemohonan rentas daerah, negeri dilulus sehari sebelum sekatan penuh

Azrulhakimie

Kes melibatkan kematian, kecemasan, pemohon bekerja sendiri

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan 12,000 permohonan rentas daerah dan negeri setiap hari sejak penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan 1 Jun lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan rentas daerah dan negeri yang diluluskan itu adalah bagi permohonan melibatkan kematian, kecemasan dan pemohon yang bekerja sendiri.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata PDRM juga menutup 118 jalan kecil yang sebelum ini digunakan orang awam sebagai jalan alternatif untuk merentas daerah dan negeri di seluruh negara.

“Tinjauan di lebuh raya-lebuh raya utama di seluruh negara juga mendapati kadar aliran kenderaan menurun kepada sekitar 500,000 kenderaan sehari berbanding 1.3 juta kenderaan sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media secara dalam talian, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kira-kira 85,000 pemeriksaan harian dilaksanakan PDRM dan agensi-agensi berkaitan sejak 1 Jun selaras pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Beliau berkata hampir 35,000 premis diperiksa termasuk pasar raya, restoran, kilang dan tempat-tempat yang dibenar beroperasi di seluruh negara.

Hamzah berkata sebanyak 3,514 kompaun dikeluarkan termasuk 117 dikenakan terhadap perbadanan atau syarikat dan 163 tangkapan dilakukan atas kesalahan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 1 Jun sehingga 4 Jun. – Bernama

No comments: